News

Siswazah teknikal, jurutera bakal bergelar professional

May 20, 2016

TELOK KEMANG 19 Mei - Kira-kira 300,000 siswazah lulusan bidang teknikal dan kejuruteraan dari institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak diiktiraf Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) bakal bergelar juruteknologis dan juruteknik profesional menerusi Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768).

Timbalan Menteri Sains dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, golongan berkenaan akan diberi gelaran ‘Ts.’ dan ‘Tc.’ sama sebagaimana gelaran milik jurutera ‘Ir.’ berkuat kuasa Mei tahun lalu.

“Sebenarnya akta ini sudah la­ma ditunggu oleh golongan tek­no­logis dan juruteknik kerana sebelum wujudnya akta tersebut, mereka menganggap kerjaya sebagai kategori kelas kedua dan tidak mempunyai laluan kerjaya.

“Justeru dengan gelaran Ts. (juruteknologis) dan Tc. (juruteknik) secara tidak langsung negara telah mengiktiraf kepakaran mereka yang turut menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Teknologi Malaysia 2016 dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Politeknik Port Dickson, Mohd. Kharir Mohd. Ibrahim; Presiden Persatuan Tek­no­logikal Malaysia, Tang Heap Seng dan Pre­si­den Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia, Datuk Abang Abdullah Abang Ali.

Sementara itu Abu Bakar ber­ka­ta, Majlis Teknologi Malaysia (MBOT) berperanan memberi peng­iktirafan kepada kerjaya tek­no­logis dan juruteknik sebagai profesyen ikhtisas di negara ini.

Secara tidak langsung, katanya, MBOT mampu menambah bi­la­ngan tenaga kerja teknikal, teknologi dan mahir yang dihasilkan di negara ini.

“Oleh yang demikian, pengiktirafan yang diberikan dilihat pen­ting dan signifikan dalam menjayakan misi nasional yang mahu melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran,” katanya.