News

SESI TOWNHALL MBOT & MAJLIS PERASMIAN PROGRAM JERAWARAYA PROJEK RINTIS PENSIJILAN PROFESIONAL MODULAR KESELAMATAN SIBER

Nov 25, 2019
25 NOVEMBER 2019 – Yang Berhormat Dato’ Mahfuz bin Omar, Timbalan Menteri Sumber Manusia (KSM) telah merasmikan Program Jerawaraya Projek Rintis Pensijilan Profesional Modular Keselamatan Siber bersempena dengan Sesi Townhall Lembaga Teknologis Malaysia yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam.
 
Program Townhall MBOT dan Majlis Perasmian Program Jerawaraya Projek Rintis Pensijilan Profesional Modular Keselamatan Siber ini merupakan usaha kolektif antara Jabatan, Bahagian dan Agensi daripada dua Kementerian iaitu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
 
Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan CyberSecurity Malaysia telah mengadakan kerjasama strategik untuk membangunkan program Pensijilan Profesional Modular Keselamatan Siber. Program ini merupakan inisiatif untuk mempergiatkan pertambahan golongan berpengetahuan dan kompeten dengan pelbagai kemahiran dalam bidang keselamatan siber di samping mempromosikan usaha reskilling dan upskilling.
 
Dalam ucapan YB Timbalan Menteri KSM, beliau telah menyatakan sokongan penuh terhadap langkah strategik yang diambil oleh MBOT, JPK dan CyberSecurity Malaysia. Langkah progresif ini amat penting bagi tujuan pembangunan modal insan dalam bidang Teknologi Keselamatan Siber serta penjanaan tenaga kerja pakar, profesional dan berkemahiran melalui program teknologi yang ditawarkan oleh institusi kemahiran dan pendidikan tinggi yang diakredit oleh MBOT.
 
Dengan kolaborasi dinamik antara KSM, KKMM, Agensi dan Jabatan berkaitan, inisiatif ini diharap mampu untuk memenuhi keperluan industri terhadap tenaga kerja pakar, profesional dan berkemahiran, sekaligus menjadi pemangkin kepada usaha Kerajaan untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada warga asing dan tenaga pakar luar negara.
 
Pada majlis ini, sebanyak 14 Memorandum Persefahaman telah diserahkan bersama Panel Pakar Teknologi daripada pemain industri dan institusi pengajian tinggi.
 
Sementara itu, pada ucapan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara), beliau menyatakan keistimewaan pendekatan ini adalah pengamal keselamatan siber akan memperolehi Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dalam bidang Ujian Penembusan dan Penilaian Keselamatan Siber (Advanced Diploma in Cyber Security Penetration Testing and Assessment) dalam masa 3 bulan berbanding dengan pendekatan yang sedia ada di mana ia akan mengambil masa lebih dari dua tahun.
 
Melalui program ini, Skim Pensijilan Professional Global ACE (Global Accredited Cybersecurity Education Scheme) diselaraskan dengan sukatan pelajaran Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia dan peperiksaan Skim Pensijilan Profesional Global ACE diterapkan dengan syarat-syarat penilaian Pusat Penilaian Amali (PPA) Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk memperolehi pengiktirafan bersama.