Oct 03, 2016
Graduan di bidang teknikal kini mendapat permintaan tinggi daripada majikan di sektor perindustrian seiring perkembangan ekonomi negara.
Persoalannya, adakah graduan teknikal yang dilahirkan universiti tempatan setiap tahun menepati kualiti dan kehendak industri? Juga adakah bilangan mereka mencukupi?
Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) memainkan peranan penting bagi memastikan bukan saja profesional yang dilahirkan mencukupi, malah berkemahiran tinggi sesuai dengan jangkaan pihak industri.
Selaras dengan itu, MTUN terus fokus dan mengekalkan visi ketika permulaan pertubuhannya, iaitu memulakan universiti teknikal berorientasikan industri dan lebih ‘hands on’.
Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, visi asal MTUN bertujuan membekalkan graduan mahir dalam bidang teknikal serta bersedia untuk keperluan industri.
“Sejak 10 tahun lalu kami membawa haluan MTUN kembali ke pangkal jalan dengan memperkenalkan pengajian teknikal yang diperlukan sektor pekerjaan di negara ini.
“Sebab itu kini kami memulakan pengajian di bidang teknologi kejuruteraan, namun turut berhadapan situasi sama ketika permulaan penubuhan MTUN dulu, iaitu mendapatkan pengiktirafan profesional,” katanya.
Dr Daing berkata, lebih banyak program teknikal diwujudkan berikutan pengiktirafan profesional sudah diperoleh dengan penubuhan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) yang berfungsi sebagai badan yang mengakreditasi program seumpama itu di MTUN.
“Kita sudah tidak risau dengan kewujudan MBOT kerana program teknikal yang dulunya tidak diiktiraf secara profesional kini sudah mendapat pengiktirafan. Graduan tidak perlu bimbang.
“Sebelum kewujudan MBOT, siswa dan ibu bapa lebih cenderung dengan program kejuruteraan konvensional, tapi kini dengan pengiktirafan MBOT lebih ramai siswa memilih program teknikal. Malah, lebih banyak program seperti itu diperkenalkan,” katanya.
Dr Daing berkata, sebagai langkah memperkasa program di MTUN, UMP sendiri mengambil langkah menawarkan program kejuruteraan yang berorientasikan latihan praktikal.
“Di UMP kami sudah berusaha dan bekerjasama dengan beberapa universiti dan syarikat Jerman di Malaysia kerana mereka terkenal dengan kejuruteraan yang praktikal,” katanya.
Katanya, disebabkan MTUN adalah universiti awam yang berfokus kepada kejuruteraan dan teknikal, nisbah siswa kejuruteraan dan teknikal berbanding siswa program di luar bidang berkenaan kini adalah 60 : 40.
“Disebabkan kami adalah universiti berfokus, jadi sudah ditetapkan majoriti siswa di MTUN menyertai kursus kejuruteraan dan teknikal manakala selebihnya kursus lain,” katanya.
Menurut Dr Daing, berfungsi sebagai universiti yang melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan diiktiraf, MTUN sentiasa memastikan siswa mendapat latihan secukupnya, selain kelengkapan sempurna.
“Sebenarnya implikasi menjalankan program teknikal ialah perbelanjaan yang tinggi. Jika dulu siswa boleh berkongsi, kini mereka dikehendaki menggunakan mesin sendiri.
“Ia komitmen tinggi yang diberikan pihak kerajaan dengan melabur dalam kelengkapan universiti. Tetapi itu adalah keperluan kerana setiap pelajar kini menerima pengiktirafan profesional.
Katanya, MTUN serius memastikan setiap siswa menggunakan kelengkapan sempurna terutama bagi program berasaskan teknikal kerana perlu menerima pengiktirafan MBOT.
“Jika kelengkapan tidak lengkap dan memiliki kurikulum yang bertepatan, program seperti ini tidak dapat dijalankan di sesebuah universiti kerana kami perlu mendapat pengiktirafan,” katanya.
Ditanya mengenai usaha MTUN dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Dr Daing berkata, antaranya menambah baik dan memperbaiki kualiti universiti dengan memastikan kelengkapan siswa mencukupi dan sering ditambah baik.
“Pertama, kami harus melabur untuk mewujudkan makmal yang memiliki kelengkapan sempurna dan berkualiti. Keduanya, akan membuka laluan kerjaya kepada bakat dari industri berkualiti untuk menjadi pensyarah.
“Selain itu, kami juga perlu meningkatkan kerjasama dengan pihak industri supaya dapat mengenal pasti teknik atau skop kerja dikehendaki sektor itu agar ia dapat dibangunkan di universiti,” katanya.