News

PENYERTAAN LEMBAGA TEKNOLOGIS MALAYSIA SEBAGAI PENANDATANGAN SEOUL ACCORD

Jun 28, 2019
HONG KONG, 13 JUN 2019– Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) telah dijemput untuk menghadiri Mesyuarat Agung Seoul Accord 2019 bertempat di Crowne Plaza Hotel, Kowloon pada 13 dan 14 Jun 2019. Pada hari ini, MBOT telah diberi peluang dan telah diterima masuk sebagai penandatangan sementara Seoul Accord yang merupakan sebuah perjanjian ko-akreditasi melibatkan 13 negara penandatangan bagi program dalam bidang pengkomputeran dan teknologi maklumat. 
 
Penyertaan MBOT sebagai penandatangan sementara Seoul Accord telah mendapat sokongan dan nominasi daripada 2 penandatangan penuh iaitu Accreditation Board for Engineering Education of Korea(ABEEK) dari Korea Selatan dan Australian Computer Society(ACS) dari Australia. Kedua-dua badan tersebut telah mengadakan lawatan penanda aras bagi melihat proses akreditasi program profesional yang dijalankan oleh MBOT pada tahun 2018 dan telah memperakui proses-proses tersebut sebagai menepati syarat dan standard yang digunapakai oleh Seoul Accord di peringkat antarabangsa. 
 
Langkah proaktif untuk menganggotai Seoul Accord ini amat penting untuk menaiktaraf program-program pengkomputeran dan teknologi maklumat yang diakreditasi oleh MBOT sebagai program profesional yang diiktiraf secara langsung oleh negara penandatangan Seoul Accord. Ia bakal memberikan kesan positif kepada 24 program Sarjana Muda pengkomputeran dan teknologi maklumat yang telah dan sedang diakreditasi oleh MBOT, tidak termasuk program-program yang kini dalam proses untuk memohon akreditasi MBOT dalam bidang yang sama. Pengiktirafan di peringkat global ini akan memberikan impak positif terhadap jaminan kualiti program, sekaligus meningkatkan kebolehpasaran dan penerimaan industri terhadap graduan yang dihasilkan melalui program-program tersebut. 
 
Seoul Accord adalah satu perjanjian pelbagai hala dalam kalangan badan yang bertanggungjawab dalam bidang pengkomputeran dan teknologi maklumat. Antara misi utama Seoul Accord adalah untuk menyumbang kepada peningkatan pendidikan dalam bidang pengkomputeran di seluruh dunia melalui pengiktirafan bersama program-program akademik dalam bidang tersebut. Badan ini telah ditubuhkan pada tahun 2008 dengan 8 negara yang merupakan penandatangan penuh dan 6 negara penandatangan sementara, termasuk MBOT dari Malaysia. 
 
Badan-badan profesional yang telah menjadi penandatangan penuh adalah Accreditation Board for Engineering Education of Korea (ABEEK), Korea Selatan, Accreditation Board for Engineering and Technology (ABET), Amerika Syarikat, Australian Computer Society (ACS), Australia, The Chartered Institute for IT (BCS), United Kingdom dan Canadian Information Processing Society (CIPS), Kanada, The Hong Kong Institution of Engineers (HKIE), Hong Kong, Institute of Engineering Education Taiwan (IEET), Taiwan dan Japan Accreditation Board for Engineering Education (JABEE), Jepun.