News

Pakar teknologi, juruteknik diiktiraf profesion iktisas melalui MBOT

Nov 18, 2016

KUALA LUMPUR: Satu strategi menjulang martabat bidang teknik dan vokasional (TVET) melalui pengiktirafan kepada profesion seperti pakar teknologi, juruteknik dan pekerja berkemahiran (skilled workers) oleh Majlis Pelancaran Lembaga Teknologis Malaysia (MBoT berlangsung baru-baru ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau di Dewan Tun Abdul Razak, Pusat Konvesyen Bank Rakyat di sini pada Jumaat.

MBoT ditubuhkan sebagai sebuah badan profesional untuk mendaftar dan mengiktiraf Teknologis Profesional (Professional Technologist) serta Juruteknik Bertauliah (Certified Technician) sebagai profesion iktisas selaras dengan saranan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang telah mengenal pasti keperluan penubuhan satu badan profesional untuk mendaftar dan mengiktiraf lulusan berkaitan kemahiran dan teknologi.

MBoT lahir atas usaha sama dan permuafakatan antara MOSTI dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kerja Raya dan pelbagai kementerian lain.

Selaras dengan teras strategik kedua Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara atau DSTIN, iaitu Membangun, Memupuk dan Menggilap Bakat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), MOSTI telah melaksanakan pelbagai program bagi membangunkan kapasiti sumber manusia berkaitan STI. Malaysia berhasrat untuk menjadi negara maju dan inklusif menjelang tahun 2020.

Malaysia memerlukan modal insan yang berpengetahuan, berilmu, beretika dan berakhlak untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Mencapai sasaran tersebut, minat pelajar-pelajar terhadap bidang TVET perlu dipertingkat sebagai satu platform penting bagi meningkatkan tenaga kerja mahir di Malaysia. Peningkatkan pengambilan pelajar dalam bidang TVET setiap tahun secara berperingkat dari 164,000 pada tahun 2013 kepada 225,000 pada tahun 2020.

Program ini dijayakan atas sokongan dan kolaborasi dari Malaysian Technical University Network atau MTUN, yang terdiri daripada empat buah universiti awam tempatan, iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Politeknik, kolej-kolej komuniti, institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), institusi-institusi latihan kemahiran (ILK), badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak industri juga turut menyumbang input dan sumber tenaga dalam penubuhan MBoT ini.

Bagi mengekalkan bilangan tenaga kerja TVET semakin bertambah di dalam industri, MBoT juga berperanan memastikan kualiti profesion ini adalah selari dengan perkembangan dinamik industri semasa.

Trend semasa teknologi pembuatan kini antara lain melibatkan automation, internet-of-things dan cyber-physical systems.

Dalam menyokong aspirasi negara untuk menempuh Industri 4.0 ini, MBOT dilihat sebagai berada di platform yang paling sesuai untuk leverage pelbagai bidang teknologi yang berada di bawah pengawalseliaan MBOT bagi memberi nilai tambah kepada pelbagai industri negara.

Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 dalam Seksyen 19 dan 20 telah ditubuhkan bagi membenarkan setiap Professional Technologists dan Certified Technician yang berdaftar dan telah diluluskan oleh MBOT untuk menggunakan gelaran singkatan Ts. atau P.Tech (bagi Professional Technologists) dan Tc. atau C.Tech (bagi Certified Technician). Ini merupakan salah satu mekanisme pengiktirafan kepada teknologis dan juga juruteknik negara.

MBOT telah membuka pendaftaran kepada empat kategori, iaitu Teknologis Berijazah, Teknologis Profesional, Juruteknik Berkelayakan dan Juruteknik Bertauliah. Kelayakan program-program pengajian teknologi/ teknikal atau kemahiran serta pedaftaran sebagai ahli MBoT akan ditentukan oleh majlis-majlis akreditasi yang akan ditubuhkan di bawah MBoT.

Individu yang memenuhi kelayakan yang ditetapkan oleh MBOT adalah layak berdaftar sebagai ahli.

Pendaftaran keahlian teknologis dan juruteknik yang layak boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang www.mbot.org.my.