Dec 14, 2017
PUTRAJAYA: Langkah kerajaan mewujudkan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) bukan sahaja bagi mengiktiraf profesion teknologi dan juruteknik, malah sebahagian usaha dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata golongan teknologis dan juruteknik yang lahir daripada sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam memacu masa hadapan pembangunan negara.
"Kini kita melihat teknologis dan juruteknik tidak lagi dianggap jurutera kelas kedua, malah diberi pengiktirafan di bawah Akta MBOT (Akta Teknologis dan Juruteknik 2015) itu sendiri dan kita melihat MBOT berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan badan profesional lain.
"Kita memerlukan pakar teknologi dan juruteknik yang mencukupi kerana TVET ini adalah bidang yang akan membangunkan negara dengan lebih pesat berbanding bidang akademik biasa," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutup Sidang Kemuncak Akreditasi Teknologi dan Teknikal MBOT di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden MBOT, Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin.
Terdahulu dalam ucapannya, Idris memuji langkah MBOT dalam membangunkan Panel Pakar Teknologi (TEP) bagi setiap bidang teknologi yang diiktiraf oleh badan profesional itu.
"Komposisi TEP yang unik dan dinamik daripada agensi kerajaan, industri dan golongan akademik dilihat mampu memberi kelebihan kepada setiap profesion teknologi dan teknikal yang berkaitan.
"Malah MBOT adalah badan profesional yang fleksibel dan dinamik dalam mendepani keperluan akademik dan industri mutakhir ini," katanya.
Pada majlis berkenaan, Idris turut menyampaikan sijil swa-akreditasi daripada MBOT kepada 17 institusi pengajian tinggi di negara ini bagi menerima keistimewaan untuk meneruskan penilaian pengiktirafan program akademik dalam bidang teknologi yang diiktiraf MBOT.
Beliau turut menyerahkan sijil akreditasi pertama yang dikeluarkan Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal (TTAC) MBOT kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).