News

Manfaat buat graduan universiti teknikal

Dec 04, 2014

Melaka: Pembentangan Rang Undang-Undang Teknologi dan Juruteknik 2014 yang dijangka dibacakan bagi bacaan kedua dan ketiga Mac ini di Parlimen akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 graduan universiti teknikal di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Md Diah berkata, sekiranya diluluskan, rang undang-udang yang mula dibentangkan pada sesi Parlimen Ogos lalu itu akan mengiktiraf peranan graduan berkenaan sebagai ahli teknologi.

Katanya, buat masa ini, ijazah yang dimiliki golongan berkenaan tidak diiktiraf Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), sekali gus menafikan peranan mereka sebagai ahli teknologi.

“Melalui akta baru ini, kita harap boleh menggerakkan profesion ahli teknologi dan menyediakan laluan kerjaya yang lebih terarah kepada graduan teknikal.

“Adalah menjadi kerugian besar sekiranya mereka tidak dapat bekerja dengan kelayakan yang dimiliki,” katanya selepas merasmikan Persidangan Sistem Teknologi Bawah Permukaan Air di Hotel Bayview di sini, semalam.

Program anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu turut dihadiri Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin serta Naib Canselor UTeM, Prof Dr Shahrin Sahib.

Abu Bakar berkata, pembentangan rang undang-undang berkenaan adalah berita baik untuk lulusan universiti teknikal seluruh negara kerana ia satu daripada laluan menjadi jurutera kelas pertama.

Katanya, kumpulan graduan itu mempunyai kepakaran dalam bidang pemeriksaan, pengujian dan penyelenggaraan produk serta ada di antara mereka dilatih dalam bidang teknikal.

“Selama ini, lepasan universiti teknikal dianggap seperti jurutera kelas kedua dan tidak mendapat pengiktirafan dari segi kepakaran,” katanya