Nov 23, 2022
PUTRAJAYA, 23 November 2022 – Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) hari ini telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) South-East Asia Cybersecurity Consortium (SEA CC) Partnership bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang keselamatan siber.
MBOT telah diwakili oleh Pendaftarnya, Dr. Md Fauzi Md Ismail manakala negara-negara Asia Tenggara yang lain diwakili oleh Mohamad Azad Zaki Haji Mohd Tahir (Information Technology Protective Security Services - ITPSS), Johnny Kho (Association of Information Security Professionals – AiSP), OU Phannarith (ISAC-Cambodia - Infosec), Fanky Christian (Association of National Information and Communication Technology Entrepreneurs - APTIKNAS), Ye Thura Thet (Myanmar Information Security Association - MISA), Association of Information Security Professionals - AiSP), Prinya Hom-anek (Thailand Information Security Association - TISA) dan Khong Huy Hung mewakili Vietnam Information Security Association (VNISA).
Pemeteraian kerjasama ini yang berlangsung di Singapura telah disaksikan oleh Josephine Teo, Menteri Komunikasi dan Penerangan Singapura, dan Menteri Bertanggungjawab bagi Negara Pintar dan Keselamatan Siber melibatkan negara-negara Asia Tenggara, iaitu Brunei, Singapura, Kemboja, Indonesia, Myanmar, Thailand dan Vietnam.
MOU ini dimeterai bagi mewujudkan asas rasmi bagi kerjasama dan kolaborasi bakat-bakat dalam bidang keselamatan siber negara-negara Asia Tenggara untuk mengambil bahagian dan mendapat manfaat daripada inisiatif masing-masing.
Seterusnya inisiatif-inisiatif seperti ini mewujudkan ekosistem maklumat dan keselamatan siber antarabangsa yang bertenaga dan dinamik. Antara bidang kerjasama yang telah dipersetujui melalui MoU ini adalah latihan dan perkongsian maklumat, termasuk pembangunan profesional ahli, penyelidikan, kolaborasi, aktiviti berkaitan belia dan komuniti serta forum keselamatan siber.
Dengan pemeteraian ini, bakat-bakat dalam bidang keselamatan siber termasuk di Malaysia berpeluang untuk memperluas jaringan dan peluang mobiliti bakat profesional bersama negara-negara Asia Tenggara yang lain. Kerjasama ini juga dijangka akan memberi nilai tambah yang dapat dimanfaatkan oleh tenaga kerja tempatan dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran terutama dalam bidang keselamatan siber.
Memandangkan inisiatif MBOT ini secara langsung menyokong dasar-dasar utama negara khususnya Strategi Keselamatan Siber Malaysia, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Negara dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), MBOT akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi lain seperti Cybersecurity Malaysia (CSM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), institusi pengajian tinggi serta syarikat-syarikat.
Selaku badan profesional yang memberi pengiktirafan profesional teknologis dan juruteknik termasuk dalam bidang keselamatan siber, MBOT akan sentiasa mengenalpasti peluang dan inisiatif khususnya diperingkat serantau bagi memastikan peningkatan kapasiti bakat-bakat tempatan.