News

Majlis Teknologi Malaysia diwujudkan

Feb 25, 2015

PUTRAJAYA 24 Feb. - Usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mewujudkan Majlis Teknologi Malaysia (MBOT) bertujuan memberi pengiktirafan kepada kerjaya teknologis dan memperkasa pendidikan teknik dan vokasional di negara ini.

Menterinya, Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, usaha ke arah itu kini sudah dimulakan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Teknologi dan Juruteknik 2014 di Parlimen, Disember tahun lalu dan bacaan seterusnya pada bulan depan bagi memberi laluan kepada penubuhan MBOT.

“Tujuan kita dengan mewujudkan MBOT ini adalah bagi memperkasa pendidikan teknik dan mengiktiraf juruteknik yang kini jumlahnya hampir 300,000 orang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat sempena perhimpunan warga kementerian itu di sini hari ini yang turut dihadiri timbalannya Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur.

Menurutnya, apabila menjadi kenyataan kelak, MBOT berfungsi menyediakan laluan kerjaya kepada kumpulan sasar tersebut, sekali gus menjadikan mereka sebagai profesional yang diiktiraf.

“Kita dapati sesiapa juga yang memilih bidang ini di universiti mengharapkan suatu kerjaya yang cerah apabila tamat pengajian, tetapi perkara yang berlalu adalah sebaliknya kerana status mereka tidak jelas tanpa pengiktirafan dan perakuan daripada mana-mana badan profesional berkaitan,’’ujar beliau.

Justeru katanya, penubuhan MBOT amat ditunggu-tunggu oleh mereka, apatah lagi ia bakal mewujudkan dua jawatan iaitu ahli teknologi atau PTech (teknologis profesional) dan kedua, juruteknik yang diberi gelaran Ctech (juruteknik yang diperakui).

“Dengan kata lain, badan ini akan memberi nafas baharu kepada juruteknik dan teknologis tersebut dan inilah usaha kami memantapkan fungsi dan peranan kementerian selaku peneraju agenda sains dan teknologi negara,”ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ewon berkata, kementerian tersebut berjaya mencapai tahap petunjuk prestasi utama (KPI) 134 peratus pada tahun lalu susulan kejayaan menerima beberapa pengiktirafan dari dalam dan luar negara menerusi usaha dan kejayaan beberapa agensinya.

Beliau turut mengumumkan bahawa kementeriannya akan memperkenalkan dan mempromosi inovasi sosial sebagai salah satu elemen dalam peluasan dana MOSTI bermula pada tahun ini.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah dan sijil tiga program yang dianjurkan sebelum ini iaitu Program Bulan Bahasa Peringkat MOSTI, Sukarelawan Misi Bantuan Banjir dan Pencapaian KPI 2014.