News

Mahu lahir lebih ramai tenaga kerja mahir

Nov 27, 2016

BERA 26 Nov. - Masyarakat terutama ibu bapa perlu mengubah persepsi bahawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) seperti GIATMARA bukan pilihan kedua dalam sistem pembelajaran.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana GiatMARA diwujudkan selaras dengan visi dan perancangan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir untuk masa depan negara.

"Di GiatMARA setiap penuntut mempunyai tiga pilihan yang jelas iaitu sama ada untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pengajian di bawah Maj­lis Amanah Rak­yat (MARA) se­perti Institut Kemahiran MARA (IKM) atau Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM).

"Atau pilihan berikutnya adalah dari segi peluang mendapatkan pekerjaan dan menjadi usahawan daripada kemahiran yang mereka miliki. Hakikatnya, pelatih yang mengikuti kursus dan latihan di GiatMARA mudah mendapat pekerjaan,” kata beliau ketika merasmikan dan me­­­­­­n­yampaikan hadiah sempena Karnival BeSkills GiatMARA 2016 di sini hari ini.

Lebih 400 penyertaan diterima pada karnival kali ini yang membabitkan penglibatan pengajar dan pelatih GiatMARA dari seluruh negara dalam pelbagai ka­tegori.

Ismail Sabri mahu masyarakat berfikiran berbeza dengan menjadikan TVET sebagai pilihan utama atau sama taraf dengan akademik lain kerana negara-negara maju tidak pernah memandang bidang tersebut sebagai pilihan kedua.

"Selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi, sasaran kerajaan adalah melahirkan sebanyak 3.3 juta pekerja dengan 50 peratus daripada mereka merupakan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

"Rang Undang-Undang Tekno­logis dan Juruteknik 2014 yang diluluskan turut memberi laluan kepada penubuhan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) yang memberi pengiktirafan kepada kerjaya teknologis dan memperkasakan TVET,” jelasnya.