News

Kad Keahlian Berciri Touch ‘N Go Untuk Ahli Berdaftar MBOT

Apr 13, 2017

PUTRAJAYA, 13 April 2017 – Golongan Teknologis dan Juruteknik kini boleh mendapat laluan yang jelas untuk mendapat pengiktirafan melalui pendaftaran keahlian dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT). MBOT mengiktiraf Teknologis dan Juruteknik sebagai profesion Ikhtisas yang sekali gus menjulang martabat bidang teknologi serta pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET).

MBOT telah dilancarkan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 17 November 2016, telah membuka pendaftaran keahlian kepada Teknologis dan Juruteknik dalam dua kategori di peringkat kemasukan, iaitu Teknologis Berijazah bagi lulusan ijazah dalam bidang teknologi, serta Juruteknik Berkelayakan bagi pemegang diploma dan sijil kemahiran dalam bidang teknikal. Teknologis dan Juruteknik yang berdaftar dengan MBOT ini akan mendapat peluang pengiktirafan sebagai Teknologis Profesional (Professional Technologist) atau Juruteknik Bertauliah (Certified Technician) mengikut bidang kepakaran masing-masing. Sehingga 12 April 2017, sebanyak 1,899 orang telah berdaftar melalui sistem pendaftaran dalam talian MBOT.

MBOT juga telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd bagi membekalkan kad keahlian MBOT dengan ciri-ciri Touch ‘n Go kepada 250,000 bakal ahli MBOT. Pertukaran perjanjian telah dilaksanakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Academician (Dr.) Ts. Ahmad Zaidee bin Laidin FASc., Presiden MBOT dan YBhg. Datuk Zainal Abidin bin Putih, Pengerusi Touch ‘n Go Sdn Bhd dan disaksikan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Kad keahlian MBOT dengan ciri-ciri Touch ‘n Go ini memberi nilai tambah kepada ahli berdaftar, selain menggunakan teknologi terkini yang mudah dan mesra pengguna dalam urus niaga secara elektronik. Kad Touch ‘n Go boleh digunakan untuk transaksi pembayaran di plaza tol, pengangkutan awam, parkir dan premis-premis perniagaan yang mempunyai terminal Touch ‘n Go.

Pemegang-pemegang ijazah sarjana muda, diploma dan sijil dalam bidang teknologi dan teknikal layak memohon pendaftaran sebagai Teknologis Berijazah dan Juruteknik Berkelayakan, seterusnya untuk mendapatkan gelaran sebagai Teknologis Profesional dan Juruteknik Bertauliah. Maklumat lanjut serta permohonan pendaftaran keahlian boleh dilakukan secara dalam talian, serta boleh didapati di laman sesawang www.mbot.org.my atau e-mel kepada [email protected] atau menghubungi talian telefon 03-8800 MBOT (6268).