News

Juruteknologi, juruteknik kini diiktiraf kumpulan professional

May 20, 2016

PORT DICKSON 19 Mei - Juruteknologi dan juruteknik kini diiktiraf sebagai sebahagian kumpulan profesional menerusi Akta Teknologi dan Juruteknik 2015, yang diluluskan Parlimen tahun lepas.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, menerusi akta itu, golongan berkenaan turut memperoleh gelaran sepertimana kumpulan jurutera, arkitek dan juruukur.

Gelaran yang akan diterima kumpulan itu ialah 'TS' untuk juruteknologi manakala 'TC' untuk juruteknik, katanya.

"Sebenarnya, akta ini sudah lama ditunggu masyarakat juruteknologi kerana sebelum adanya akta ini, mereka yang bekerja dalam bidang teknologi menganggap mereka kategori kelas kedua kerana tidak mempunyai laluan kerjaya.

"Kalau jurutera profesional dipanggil Ir, juruukur Sr dan arkitek Ar. Bila kelulusan yang tidak dapat pengiktirafan daripada institut jurutera kerana silibus mereka tidak menepati untuk menjadi jurutera, mereka terumbang-ambing, tidak tahu hala tuju.

"Sebab itu kerajaan prihatin dengan masalah mereka terutama yang keluar daripada universiti-universiti teknikal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Teknologis Malaysia di sini, hari ini.

Abu Bakar berkata, melalui akta itu, mereka yang menjadi juruteknologi dan juruteknik perlu mendaftar dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), dan perlu melalui saringan dan proses ditetapkan sebelum diberi tauliah sebagai profesional yang melayakkan mereka menggunakan gelaran 'TS' dan 'TC' di hadapan pangkal nama.

Beliau berkata, pemberian gelaran 'TS' dan 'TC' secara tidak langsung membuktikan bahawa negara mengiktiraf kepakaran mereka dalam menyumbang kepada pembangunan negara. - BERNAMA