Dec 08, 2016
Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) seperti di GIATMARA bukan pilihan kedua atau terakhir dalam sistem pembelajaran di negara ini.
Justeru, masyarakat terutama ibu bapa perlu mengubah persepsi bahawa TVET adalah pilihan terakhir selepas gagal mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi lain yang lebih berteraskan akademik.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana GIATMARA diwujudkan selaras dengan visi dan perancangan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir untuk masa depan negara.
“Di GIATMARA setiap penuntut mempunyai tiga pilihan yang jelas iaitu sama ada untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pengajian di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) seperti Institut Kemahiran MARA (IKM) atau Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM).
“Atau pilihan berikutnya adalah untuk mencari pekerjaan atau menjadi usahawan menggunakan kemahiran yang dimiliki. Hakikatnya, pelatih GIATMARA mengikuti kursus latihan yang memudahkan mereka mendapat pekerjaan,” kata beliau ketika merasmikan dan menyampaikan hadiah sempena Karnival Be Skillss GIATMARA 2016 di Dewan Majlis Daerah Bera, Padang Luas, Pahang pada 26 November lalu.
Ismail Sabri mahu masyarakat berfikiran berbeza iaitu menjadikan TVET pilihan utama atau sama taraf dengan akademik lain kerana negara-negara maju tidak pernah memandang bidang kemahiran sebagai pilihan kedua.
“Selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi, sasaran kerajaan adalah melahirkan sebanyak 3.3 juta pekerja dengan 50 peratus daripada mereka adalah tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Rang Undang-Undang Teknologis dan Juruteknik 2014 yang diluluskan turut memberi laluan kepada penubuhan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) yang memberi pengiktirafan kepada kerjaya teknologis dan memperkasakan TVET,” jelasnya.